1: PERBUATAN ZAHIR DAN SUASANA HATI
|
SEBAHAGIAN
DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN
HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu Athaillah memulakan Kalam Hikmat beliau
dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal boleh dibahagikan
kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana hati
berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan perbuatan
zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu
tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan
seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati
itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh
amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun
ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal sama ada
amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan
meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal, zahir atau
batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau
tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau
berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi
mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan
Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan
Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan
Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan
sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had,
sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan
sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah
s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada
di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t
mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi
seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya,
baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan
zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar
kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia
tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan
perolehi baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang demikian
kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan.
Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka
bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan.
Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah
pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu
Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita
terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian
membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu
tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:
“Wahai
anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya
(Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan
Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah
melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas menceritakan bahawa orang yang beriman
kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan
bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati tidak
berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini,
dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan
mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah
s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia
melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna
tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada
orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak
menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang demikian menjadikan orang yang
beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka
yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka
apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t berada
dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan
mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan
sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka
mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha
(termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak
mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka
tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir
dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang kafir tidak bersandar kepada Allah s.w.t
dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam juga ada yang
demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang kafir. Orang
yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan diri sendiri, bukan kerana
Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat
mengecapi kemakmuran hidup di dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang
dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya,
kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga
dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak
amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya
tentang kesejahteraan hidupnya.
Sebahagian kaum muslimin yang lain mengaitkan amal
kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai
tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api neraka. Kerohanian
orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya mereka yang mencari
keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan menempuh ujian.
Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan segala-segalanya
berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu berlaku di luar
jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana membuat mereka
merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di atas muka bumi ini. Bila
berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan itu disebabkan
kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka
menyombong.
Apabila rohani seseorang bertambah teguh dia melihat
amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak
lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk
mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi
hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering
mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal yang banyak
dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain.
Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila
dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan.
Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan
melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada golongan yang bersandar kepada amal
semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui amal.
Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam
mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir, iaitu
perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih
ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajatkan.
Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar kepada amalan
batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu
amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk
mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan
dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.
Dalam perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah
juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir
adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal.
Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan
hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang
meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa
kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian
seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya
maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
“Padahal
Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat
96 : Surah as- Saaffaat )
Orang yang di dalam makam ini tidak lagi melihat
kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya tetap
melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya.
Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak ada amal
kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku
adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan
(sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang
kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi
masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha
Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara)
melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang
dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang
ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan
orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak
terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi
milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak
terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya
sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang mengenal Allah
s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah yang
paling kuat mengerjakan amal ibadat.
Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan
segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak berdukacita
bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai
penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal
perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan
syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir
dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk
berjaya dalam perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata
hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat
atau penyebab. Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat
semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan
Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya
dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat
lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya,
Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah
mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat
dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini.
Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah
diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia
hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.
Wallahu A’lam bisshawwab ...............!!!!!!!!!!!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar